fbpx

Leher diacu pisau, penyamun larikan rantai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diacu pisau pada lehernya dalam kejadian samun di sebuah rumah di Bandar Puteri Jaya, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang berada di dalam bilik tidur rumah mendengar bunyi besi bergesel di ruang tamu kira-kira pukul 10.30 malam.

“Dia kemudian bertindak keluar dari bilik untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak seorang lelaki tidak dikenali membawa sebilah pisau dan sebatang besi panjang di pintu gelongsor.

“Suspek terus meletakkan pisau pada leher mangsa dan membawanya ke dalam bilik tidur. Penjenayah itu terus menyelongkar almari untuk mencari wang sebelum bertindak melarikan seutas rantai tangan bersama sebentuk cincin emas dipakai mangsa,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, laporan kes samun bersenjata itu diterima Balai Polis Sungai Petani pada pukul 12.36 tengah malam semalam dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terus membuat hebahan mengenai kejadian ke daerah berdekatan.

“Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 36 tahun kemudian berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Balai Polis Tasek Gelugor di Jalan Lunas, Kampung Tepi Sungai di Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Kita turut merampas seutas rantai tangan sepanjang kira-kira 21 sentimeter dan seberat 66.7 gram,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI