DENGKIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok putih perlabagai jenama bernilai RM6.38 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 November lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapha berkata, kejayaan itu diraih selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas enam buah kontena di pelabuhan berkenaan pada pukul 11 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas kontena itu telah menemui sebanyak 8.39 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam disorok disebalik produk makanan serta minuman.
“Siasatan awal ke atas dokumen perkapalan dagangan itu diisytiharkan sebagai pelbagai barangan.
“Siasatan juga mendapati rokok putih dari Asia Selatan ini adalah untuk tujuan import ke Malaysia dan tidak mempunyai permit import,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, nilai rokok putih yang disita dianggar hampir RM784,117 dan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM5.6 juta.
Raizam berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang juga merupakan ejen perkapalan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE