SHAH ALAM – Isu lambakan warga asing di kampung-kampung tradisi akan disiasat kesahihannya bagi mengelakkan peluang pekerjaan di lokaliti tersebut dimonopoli kumpulan tersebut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, sememangnya kerajaan dari segi dasar memberikan keutamaan kepada warga tempatan menerusi program khusus dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Kataya, ini supaya sektor pertanian dan pekerjaan dapat diisi golongan tempatan.
“Kerajaan negeri ambil maklum dan meneliti adakah benar lambakan ini berlaku selain pekerja asing punyai permit atau tidak.
“Sekiranya ya (tiada permit), kita akan mengambil langkah-langkah menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi memastikan peluang pekerjaan diisi warga tempatan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sallehen Mukhyi (PN – Sabak) yang membangkitkan lambakan warga asing menduduki kampung tradisi di Selangor.
Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar mengakui perubahan demografi dengan generasi muda lebih cenderung berhijrah ke bandar seterusnya menyebabkan kampung tradisi mengalami kekurangan penduduk.
Ujarnya, ini seterusnya menjadi cabaran kepada kerajaan negeri dalam mengekalkan budaya dan tradisi di kampung-kampung berkenaan.
“Selain itu, pembangunan melibatkan projek perumahan dan komersial untuk dimanfaat bagi ekonomi namun memberikan tekanan dari segi tanah yang mungkin menjejaskan kampung tradisi.
“Kesedaran budaya di kalangan generasi muda menjadi keprihatinan kerana tanpa usaha mendidik dan memupuk penghargaan kepada warisan budaya ini akan menyebabkan tradisi (di kampung) akan terpinggir,” katanya. – KOSMO!ONLINE