fbpx

‘Daim yakin tak bersalah, kes perlu diteruskan walau apa pun terjadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Daim

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mahu supaya kes gagal mengisytiharkan harta yang dipertuduhkan terhadap arwah suaminya diteruskan tanpa ditarik balik.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Na’imah berkata tidak ada keperluan untuk Peguam Negara (AG) mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak semula atau memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim.

Ujar Na’imah sejak awal siasatan SPRM kira-kira lebih setahun setengah lalu, pihaknya secara konsisten mengatakan pertuduhan itu remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik.

“Di sini, saya bagi pihak Allahyarham, ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat Allahyarham supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apapun terjadi kepadanya.

“Daim ternanti-nanti harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah. Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua SPRM untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim,” tegas Na’imah.

Kes Allahyarham Daim, dijadualkan untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa dan mengaku tidak bersalah pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.

Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan dalam kes Allahyarham Daim menyatakan belum mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut berhubung kes itu.

Menurut sumber daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diputuskan.

Sumber itu berkata ia adalah selaras seperti yang dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bahawa tindakan seterusnya akan diputuskan oleh TPR, setelah perbincangan dilakukan oleh pihak SPRM bersama pihak terbabit.

Allahyarham meninggal dunia pada 13 November lalu, pada usia 86 tahun akibat strok di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya pada pukul 8.21 pagi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, di sini dengan penghormatan terakhir itu dihadiri lebih 500 orang termasuk kenalan, keluarga dan pemimpin-pemimpin politik negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI