PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan Datin Fouziah Gous menasihatkan netizen supaya jangan terlalu sibuk mencari kesalahan orang dalam media sosial.
Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 41, turut meminta netizen untuk menjaga tutur kata ketika meninggalkan komen dan tidak sewenang-wenang mencela ahli keluarganya jika berasa tidak puas hati.
“Bila awak ada suami yang sempurna dari syurga, jaga baik-baik. Jangan sibuk menilai suami orang.
“Saya ini jarang balas tapi adab itu perlu ada untuk berkata-kata. Jangan rasa diri hebat dan boleh bercakap suka hati di media sosial.
“Sibukkan diri untuk cari ilmu daripada sibuk mencari dosa orang sampai tak sedar dosa diri sendiri juga,” katanya di ruangan komen.
Pelakon filem Hantu Bukit Cina itu memberi reaksi demikian ketika membalas komen yang mengkritik pakaiannya dikatakan tidak sesuai dengan imej wanita bertudung.
Malah, penguna media sosial itu turut mempersoalkan tanggungjawab suami Fouziah iaitu Datuk Zhafran Md. Yusof kerana membiarkan isterinya memakai pakaian tidak menutup aurat dengan betul.
“Asal somi (kenapa suami) tidak bertanya baju pendek, kenapa tidak pakai seluar biasa berbanding pakai tight (seluar ketat).
“Tudung labuh sikit, pelik juga suaminya, scan (pantau) 100 peratus tidak. Nanti akhirat tak disoal baju kenapa pakai baju sekolah tapi sebaliknya,” kata individu tersebut.
Pertikaian antara Fouziah dan individu itu berlanjutan apabila kedua-duanya saling membalas komen.
Dalam pada itu, Fouziah menjelaskan pakaian tidak terlalu mendedahkan aurat dan meminta agar jangan melibatkan ahli keluarganya.
“Kalau rasa baik boleh mesej terus. Nak cakap apa pun boleh, jangan senang sangat nak petik keluarga.
“Suami awak yang dari syurga itu memang didik baik sangat sampai nak komen secara umum seperti ini,” katanya.
Difahamkan, pertikaian itu bermula apabila pengguna media sosial terbabit menegur gaya pemakaian Fouziah yang menggayakan skirt panjang, tetapi menampakkan sedikit bahagian kaki dan dipadankan dengan seluar ketat berwarna coklat muda.
Gambar tersebut dipercayai diambil ketika Fouziah dan Zhafran berkunjung ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – KOSMO! ONLINE