MARANG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengingatkan golongan peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan pada musim tengkujuh ini sedangkan bekalan hasil laut itu sebenarnya mencukupi.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya sedar segelintir peniaga mengambil kesempatan menggunakan sentimen Monsun Timur Laut (MTL) sebagai alasan kononnya berlaku kekurangan bekalan ikan untuk menaikkan harga.
Tegas beliau, isu kekurangan bekalan tidak timbul kerana LKIM telah melakukan persiapan bagi memastikan harga ikan tidak melambung tinggi sepanjang tempoh MTL.
“Kita akui bekalan ikan segar sedikit sebanyak akan terjejas ekoran nelayan Zon A (pesisir pantai) tidak dapat turun ke laut (sepanjang MTL) tetapi ia telah dipastikan sentiasa mencukupi.
“LKIM telah menyediakan stok penimbal sebanyak 1,600 metrik tan ikan di bilik sejuk beku persatuan nelayan kawasan (PNK) seluruh negara bagi keperluan pengguna pada musim tengkujuh,” katanya pada program Rahmah Madani bersama Nelayan Marang di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan peralatan menangkap ikan kepada nelayan setempat dan peruntukan lebih RM150,000 untuk menaiktaraf kemudahan Jeti LKIM Marang dan Jeti Pendaratan Ikan Merchang di sini.
Muhammad Faiz berkata, stok penimbal ikan yang mencukupi pada musim tengkujuh telah menjadi keutamaan LKIM sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, setakat ini, tinjauan mendapati harga ikan terutama di Pantai Timur masih stabil walaupun MTL sudah mula melanda sejak minggu lalu. – KOSMO! ONLINE