GEORGE TOWN – Belum ada ahli-ahli Global Ikhwan Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) tampil secara sukarela menyertai program pemulihan khusus untuk mereka di negeri ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohamad Abdul Hamid menasihatkan individu yang pernah menyertai GISBH agar segera mengikuti program pemulihan berkenaan.
“Tidak ada sesiapa yang tampil, mereka pun tidak ada nombor ahli jadi kita pun tidak dapat jejaki mereka.
”Kita tawarkan kepada mereka program pemulihan berkaitan agama di Kompleks Darul Hidayah (di Nibong Tebal), kita juga sediakan fasilitator untuk mereka, ada penginapan sekali, jadi kita nasikatkan mereka tampil secara sukarela sertai program pemulihan ini,” katanya di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 16 Oktober lalu memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain Pulau Pinang, lima negeri lain turut mewartakan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.
Menurut Mohamad, pada masa ini boleh dikatakan ahli-ahli GISBH ‘hilang’ daripada pandangan umum. – KOSMO! ONLINE