JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan seorang wanita misteri melempar surat layang mengandungi nota pesanan aneh ke rumah seorang penduduk di Depok, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Radar Bogor hari ini.
Perbuatan wanita tersebut dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) rumah itu semalam.
Dalam video tersebut, wanita yang identitinya tidak diketahui itu hanya memakai baju kelawar dan masuk ke halaman rumah penduduk di Kelapa Dua.
Dia kemudian melempar beberapa helai kertas dan berlalu pergi.
“Seorang penduduk melaporkan rumahnya dilempar surat layang oleh seorang wanita misteri yang tidak dikenali,” kata keterangan video itu.
Surat layang tersebut didapati mengandungi nota pesanan diberi tajuk Khabar Keselamatan yang ditujukan kepada pemilik rumah dan keluarganya.
Isi kandungan nota itu adalah peringatan kepada pemilik rumah untuk membuang segala objek mistik atau yang berunsurkan khurafat yang masih disimpan.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Isi kandungannya bagus. Ia mengingatkan kita kepada kebaikan dan jangan sesekali menyekutukan Allah,” kata seorang netizen.
“Ambil dari sudut positif. Mungkin pengirimnya sayang kepada keluarga tersebut. Dia mahu mengingatkan tuan rumah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI