PETALING JAYA – Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang akan mengagihkan kira-kira 5 tan ubi kentang secara percuma esok.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Uncle Kentang berkata, agihan tersebut akan dilakukan di Bandar Puchong Utama bermula pukul 3 petang.
“Besok (19 November 2024) saya kena beri anda semua 5,000 kilogram (kg) kentang secara percuma. ‘Watch out’.
“Saya Uncle Kentang, maka itu saya kena beri kentang secara percuma. Seorang boleh ambil seberapa yang perlu, kalau nak banyak bawa karung sendiri, kami juga ada sediakan beg plastik percuma,”tulisnya.
Mengulas lanjut, Uncle Kentang berkata, kentang berkenaan diderma oleh salah sebuah syarikat pembekal makanan berasaskan ubi terbabit.
“Lokasi, 33A, Jalan PU 7/4, Bandar Puchong Utama, 47100 Puchong, Selangor, masa 3 petang sampai habis. Sila datang beramai ramai untuk ambil kentang,” katanya. – KOSMO! ONLINE