DALAM meningkatkan kesedaran senaman antenatal buat ibu mengandung, Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor telah berkolaborasi dengan Pantai Integrated Rehab (PIR) untuk mengadakan satu program tanggungjawab sosial universiti (USR).
Bertemakan ‘Senaman Antenatal: Kesihatan dan Kesejahteraan Ibu Mengandung’, program berkenaan diadakan khusus untuk komuniti di kawasan sekitar Puncak Alam.
Program berkenaan bermatlamat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan senaman antenatal dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan mental ibu sepanjang tempoh kehamilan.
Program yang berlangsung di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan itu menyaksikan kehadiran 20 peserta dalam kalangan ibu mengandung bersama pasangan masing-masing.
Para peserta didedahkan kepada pelbagai jenis senaman selamat dan mudah bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan fizikal seperti sakit pinggang, kejang kaki, serta masalah postur yang sering dialami oleh ibu mengandung.
Penasihat program, Dr. Nur Farhana Md. Yunus berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif USR yang bertujuan mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
“Sebagai institusi pengajian tinggi, kami ingin berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang fisioterapi untuk manfaat masyarakat.
“Kami percaya program ini dapat memindahkan ilmu kepada ibu-ibu mengandung,” katanya.
Selain sesi senaman, program itu turut diisi dengan ceramah kesihatan yang membincangkan topik seperti pemakanan semasa mengandung, laktasi, urutan bayi dan persediaan bersalin.
Sesi tersebut disampaikan oleh pakar-pakar fisioterapi yang juga alumni UiTM dari Hospital UiTM dan pusat fisioterapi serta kaunselor berdaftar.
Sementara itu, pengarah program berkenaan, Rozita Hani Mohd. Haris menjelaskan, senaman antenatal memainkan peranan penting dalam membantu ibu mengandung kekal sihat dan aktif sepanjang kehamilan.
“Senaman antenatal dapat menguatkan otot, memperbaiki peredaran darah dan membantu ibu bersedia melahirkan anak dengan lebih baik.
“Selain itu, senaman yang teratur juga dapat mengurangkan risiko komplikasi semasa melahirkan serta membantu pemulihan lebih cepat selepas bersalin,” jelasnya.
Program itu merangkumi sesi senaman ringan yang direka khusus untuk ibu mengandung seperti regangan otot, senaman mobiliti serta senaman menguatkan otot.
Para peserta turut diajar mengenai teknik pernafasan yang boleh membantu mereka mengatasi kesakitan semasa proses kelahiran.
Salah seorang peserta program, Solihah Abdullah, 36, berkata, itu kali pertama dia menyertai program berkenaan.
“Program ini sangat membantu saya mengetahui apa itu senaman antenatal. Dengan latihan senaman semasa program, ia mendedahkan saya kepada cara-cara yang betul untuk melakukan senaman antenatal.
“Program ini membantu ibu-ibu mengandung untuk kekal aktif, bertenaga dan membantu dalam proses bersalin nanti,” katanya.
Sementara itu, sambutan positif yang diterima daripada komuniti mendorong UiTM untuk memperluaskan program berkenaan ke kawasan lain di seluruh Selangor.
UiTM Puncak Alam juga merancang untuk mengadakan program susulan bagi membantu ibu-ibu selepas melahirkan bayi, khususnya dalam pemulihan fizikal dan sokongan emosi.
Seorang lagi peserta, Khor Shu Vien, 36, berkata, program itu memberi manfaat kepadanya dan suami memandangkan dia sedang mengandung anak sulung.
“Ini kali pertama saya mendengar kepentingan otot lantai pelvic dan bagaimana senamannya.
“Program ini amat teliti termasuk saringan kesihatan sebelum senaman dan ia sangat bagus,” jelasnya.