fbpx

Tong gas bocor punca kedai makan, salun hangus terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kedai makan yang hangus dalam kebakaran di Kampung Kubang Tin, Melor dekat Kota Bharu malam tadi. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Dua buah premis hangus dijilat api selepas tong gas petroleum cecair (LPG) yang digunakan untuk memasak air di sebuah kedai makan dipercayai bocor dalam kejadian di Kampung Kubang Tin, Melor di sini malam tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9 malam itu memusnahkan sebuah kedai makan yang ketika itu sedang dikunjungi pelanggan dan sebuah salun rambut.

Pemilik salun, Tan Fei Lie, 32, berkata, dia yang tinggal di dalam premis itu bersama suami dan dua anak perempuan kembar berusia lima tahun sedang bersiap-siap untuk tidur.

Menurutnya, dia kemudian terdengar pintu kedai diketuk kira-kira pukul 9.15 malam sebelum terkejut melihat api marak dari sebuah kedai makan yang terletak bersebelahan premisnya.

“Api ketika itu sudah mula merebak ke salun saya. Tanpa berfikir panjang, saya terus mengangkat dua orang anak dan keluar dari premis.

“Saya sempat menghidupkan enjin kereta dan terus keluar ke kawasan yang jauh dari lokasi kejadian. Nasib baik bomba cepat sampai dan api tidak sempat merebak ke dua buah premis milik suami iaitu dobi layan diri dan aksesori kereta yang terletak berdekatan kedai saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba Ketereh, Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.19 malam sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian, manakala kebakaran dapat dikawal kira-kira 30 minit kemudian dan operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 11.08 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI