BESUT – Seorang suri rumah maut selepas kereta Honda City dinaikinya dirempuh sebuah Peroda Myvi dipandu lelaki disyaki berada dalam pengaruh dadah di Kampung Benting Lintang di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 3 petang itu, mangsa, Norra Zafidan Ahmad Zaibidin, 45, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 26 tahun itu pula cedera parah pada bahagian kepala dan abdomen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut bersama tiga ahli keluarganya berusia tiga hingga 62 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bachok, Kelantan dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda City dinaiki mangsa dan ahli keluarganya tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas.
“Sebelum itu, kereta Perodua yang dinaiki dua lelaki berusia 20 dan 26 tahun itu dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Md. Sani berkata, mayat wanita tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut, manakala ujian saringan awal urin mendapati pemandu kereta Perodua Myvi terbabit positif dadah jenis methaphitamine. – KOSMO! ONLINE