PETALING JAYA – 15 peratus rakyat Malaysia, ramai antaranya golongan remaja, berkongsi kata laluan perbankan, sekaligus mendedahkan mereka kepada peningkatan kadar penipuan atas talian dan risiko menjadi keldai akaun, menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani.
Katanya, tahap literasi kewangan digital yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, walaupun penggunaan perkhidmatan kewangan digital telah mencapai lebih 90 peratus tahun ini antara tiga cabaran kewangan berdasarkan Kajiselidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 yang dijalankan BNM baru-baru ini.
“Pertama, pengurusan kewangan yang kurang berhemah menjadi isu yang amat membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, di mana satu daripada empat rakyat Malaysia merasakan yang hutang mereka membebankan.
“Belia adalah golongan yang merasa paling terbeban dalam isu ini. Mungkin tiba masanya untuk institusi pendidikan tinggi dan TVET (pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional) mewajibkan pendidikan kewangan terhadap pelajar mereka yang bakal memasuki alam pekerjaan demi kesejahteraan kewangan jangka panjang.
“Kedua, walaupun akses kepada perkhidmatan kewangan seperti pemilikan akaun deposit adalah tinggi di Malaysia, ianya tidak diterjemahkan kepada tabiat menyimpan dan penggunaan secara bermakna.
“Menurut kaji selidik yang sama, 61 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan wang sebanyak RM1,000 sekiranya menghadapi kecemasan. Ramai sedar akan kepentingan menabung, tetapi simpanan itu sering dikeluarkan sehingga terpaksa berhutang pada saat-saat genting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sarawak di Vivacity Megamall, Kuching semalam.
Karnival tersebut merupakan kemuncak kepada Bulan Literasi Kewangan yang telah berlangsung sepanjang bulan Oktober dan November. Acara tiga hari itu mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih daripada 20,000 pengunjung dan 40 pempamer. – KOSMO! ONLINE