GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota di negeri itu yang terlibat dengan dadah.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengingatkan Ketua-Ketua Polis Daerah agar sentiasa memantau ‘anak buah’ masing-masing untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan dadah.
”Berkaitan dengan isu dadah, saya sudah uar-uarkan tidak akan bertolak ansur dengan dadah.
“Ketua-Ketua Polis Daerah perlu memantau anak-anak buah mereka agar tidak bersekongkol dengan mana-mana sindiket atau terlibat dengan dadah,” katanya ketika berucap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Terdahulu, Hamzah menyempurnakan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Untuk rekod, terdapat enam kes dadah melibatkan polis kontinjen Pulau Pinang pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baharu dilantik hari ini, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, usaha pencegahan jenayah di Timur Laut memerlukan kerjasama dan sokongan daripada masyarakat. – KOSMO! ONLINE