SEBERANG PERAI – Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Rabu lalu.
Tertuduh, Marhizan Johari, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu iaitu Lee Zi Rou, 21, di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabit kesalahan.
Tertuduh juga bakal hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding, Zulfadzly tidak menawarkan sebarang bentuk jaminan berikutan kes tersebut telah mendapat liputan meluas dan viral di media sosial.
“Tertuduh tidak menunjukkan rasa bersalah terhadap perbuatannya. Kes ini sudah viral, dia (tertuduh) telah menunjukkan isyarat ‘peace’,” katanya.
Majistret Mohd. Harith kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, akhbar Kosmo! melaporkan seorang wanita maut dalam keadaan mengerikan selepas kereta yang dipandu dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Bukit Tengah.
Dalam kejadian pada pukul 9.16 pagi itu, Lee Zi Rou, 21, yang memandu kereta jenis Perodua Bezza disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.
Kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta jenis Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25, cedera dan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam. -KOSMO! ONLINE