JURULATIH badminton para negara, Nova Armada menetapkan sasaran besar buat skuad negara dengan tumpuan utama pada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun sebagai platform mencipta kejayaan cemerlang.
Kehebatan jaguh perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou terus menjadi taruhan Nova meskipun usia pemain itu kini menjangkau 36 tahun dengan kemahiran luar biasanya tetap menjadi aset berharga buat negara.
“Walaupun umur Liek Hou sudah 36 tahun, tetapi dia masih di tahap tertinggi. Kejohanan Dunia adalah matlamat utama kami dan saya yakin dia masih mampu menjuarai pentas ini,” ujar Nova.
Selain Liek Hou, pemain muda negara, Muhammad Fareez Anuar juga dilihat sebagai masa depan skuad badminton para dengan Nova menggariskan dua tahun lagi sebagai tempoh penting untuknya matang dan bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran di peringkat dunia.
“Fareez sedang menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Sasaran pertama adalah pingat di Sukan Asia, sebelum fokus beralih ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028,” tambah Nova.
Kejohanan Para Antarabangsa Bahrain pada 11 hingga 15 Disember ini akan menjadi penutup tirai buat skuad badminton para negara dengan Nova menyifatkan ia sebagai peluang untuk mengukur kekuatan selain mengintai kelemahan pencabar utama seperti Indonesia dan Taiwan.
“Kejohanan ini bertaraf Level 1, jadi kami perlu hadir tetapi tidak menetapkan tekanan besar kepada pemain. Fokus utama adalah persiapan jangka panjang untuk 2025 dan 2026,” jelasnya.
Dengan gabungan pengalaman dan bakat muda, Nova optimis skuad badminton para berada pada landasan tepat untuk mengukir kejayaan cemerlang di peringkat dunia.