fbpx

Mayat Mokthar ditemukan 200 meter dari lokasi tergelincir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Mokthar (gambar kecil) ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi dia dipercayai tergelincir di Sungai Pengkalan, Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Mayat pengurus kilang, Mokthar Othman, 61, yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika mahu membuang air di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini, semalam akhirnya ditemukan petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan pada pukul 2.25 petang dalam keadaan lengkap berpakaian pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Pada pukul 12.30 tengah hari tadi dua anjing pengesan (Unit K9) mengesan kewujudan mayat manusia.

“Pada pukul 2.25 petang, orang awam ternampak objek warna putih terapung pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dikesan, jadi anggota bomba buat intervensi ke lokasi berkenaan dan menemukan mayat warga emas itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pos Kawalan Bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sebenarnya kita sudah melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi sama semalam, namun berdepan kesukaran kerana arus sungai yang deras.

“Hari ini kita minta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menutup Pintu Air Kampung Gadek seawal pukul 8 pagi bagi menurunkan paras air di kawasan pencarian,” ujarnya.

Menurut beliau, operasi SAR melibatkan kekuatan 56 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kosmo! semalam melaporkan gara-gara tandas awam berkunci, seorang pengurus kilang berusia 61 tahun dikhuatiri lemas akibat tergelincir dipercayai ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, awal pagi tadi.

Pihak bomba menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa pada pukul 5.39 pagi memaklumkan warga emas itu hilang dan dikhuatiri terperangkap dalam tandas awam di Sungai Pengkalan berikutan penemuan kenderaannya di lokasi berkenaan.

Mangsa ada memaklumkan kepada isterinya dia sakit perut sebelum keluar seorang diri untuk membeli makanan pada pukul 1.50 pagi.

Bagaimanapun lelaki itu gagal dihubungi sehingga pukul 5 pagi menyebabkan ahli keluarga keluar mencarinya di beberapa lokasi termasuk restoran mamak, hospital dan tandas awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI