JOHOR BAHRU – Laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berhubung dakwaan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City, Iskandar Puteri, April lalu telah ditarik semula.
Saksi pendakwaan, Pegawai Penyiasat Kanan Polis, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Asisten Superintenden Muhammad Hanif Abdul Hafitz berkata demikian ketika prosiding perbicaraan hari pertama kes itu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
“Laporan polis itu telah ditarik balik pengadu pada 17 Julai 2024,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sobri Othman di hadapan Hakim, Rasidah Roslee.
Peguam Chegu Bard, Muhammad kemudian memaklumkan mahkamah pihaknya telah menghantar representasi berhubung penarikan balik laporan polis itu pada 7 November lalu namun belum menerima maklum balas.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 21 hingga 23 Januari depan untuk sambung perbicaraan dan keputusan representasi oleh pihak pembelaan.
Selain Mohd. Sobri, kes turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah dan Muhammad Amir Hanif Ahijman.
Pada 30 April lalu, Chegu Bard mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penerbitan menghasut menggunakan akaun Facebook atas nama Che’Gu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu. – KOSMO! ONLINE