fbpx

Kalau itu tuntutan kenalah – Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – “Kalau itu tuntutan (perintah mahkmah) kenalah…insya-Allah tiada masalah.”

Demikian respons Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kekal tenang sejurus selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pasangan tersebut pada 7 September 2023.

Ini bermakna pasangan suami isteri tersebut perlu membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dua lagi hakim yang turut bersidang hari ini ialah Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian selepas meneliti hujahan bertulis dan lisan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada 7 September 2023, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dilepas dan dibebaskan atas tiga pertuduhan rasuah tersebut selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasangan itu membela diri.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah masing-masing RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette atas sebab dan di lokasi sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula didakwa bersubahat dengan suaminya untuk melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI