PETALING JAYA – Bertubi-tubi meraih kebencian ramai impak kemenjadian karakter perosak rumah tangga kakak kandung sendiri, pelakon Mimi Lana menarik perhatian dengan mengumumkan drama sebenar penyondol tersakiti akan bermula minggu ini.
Memandangkan watak Intan lakonannya sudah menemui keinsafan, pemilik nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin Nordin itu memaklumkan sudah tibanya masanya peminat kini beralih menjadi penyokong watak tersebut pula.
“Drama penyondol yang tersakiti akan bermula pada minggu ini. Intan dah insaf, korang dah boleh team Intan kan?,” tulisnya secara berseloroh di Instagram.
Perkongsian pelakon berusia 28 itu menarik perhatian ramai, termasuk rakan selebriti yang terlibat dalam naskhah sama.
‘Foto di pagi hari raya sebelum bergerak konvoi ke rumah mak cik-mak cik, berpanas berkicap dan akhirnya masing-masing terbongkang di ruang tamu,” kata Zahiril Adzim.
Aktor itu merujuk kepada perkongsian gambarnya bersama Intan masing-masing mengenakan pakaian sedondon dan bersongkok manakala Mimi pula lengkap berhijab.
“Intan dah insaf ya Allah spoiler hahaha. Janganlah cerita, i tengah tengok ni,” tulis pelakon Nora Danish pula.
Sementara itu, pelakon senior Azah Aziz pula memberi respons kelakar apabila tidak seronok dengan perubahan Intan yang sudah menjadi baik.
Azah mahu penulis skrip drama berkenaan mengekalkan sifat antagonis watak Intan tersebut.
“Tak bestlah jadi baik. Boleh tak penulis skrip teruskan intan jadi jahat. Insaf saja pakai tudung ya,” katanya.
Naskhah Andai Tiada Dia mencipta fenomena apabila menampilkan isu kecurangan dalam rumah tangga apabila penyondol kebahagiaan seorang kakak, lakonan Ummi Nazeera bersama Hisham Hamid sebagai suami dirosakkan oleh adik kandungnya sendiri. – KOSMO! ONLINE