fbpx

Gaji terakhir suami pencetus rezeki berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bermula di tepi jalan bersama suami, Khatijah (dua dari kanan) berjaya menambah cawangan keropok lekornya untuk mencecah 40 buah setelah lapan tahun berniaga.

SUNGAI BULOH – Siapa sangka gaji terakhir seorang suami boleh membawa kepada rezeki yang berterusan hingga ke hari ini.

Ini kisah pengorbanan sepasang suami isteri yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan de­ngan menjual keropok lekor untuk mengubah kehidupan.

Pengusaha perniagaan Kero­pok Getel, Khatijah Mohammad, 38 berkata, usaha itu bermula pada tahun 2017 secara kecil-kecilan di tepi jalan, bermodalkan gaji terakhir suaminya yang pernah berkhidmat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Wanita berasal dari Terengganu itu mahu meneruskan legasi perniagaan turun temurun daripada ibunya dengan mengkomersialkan produk makanan popular warga Pantai Timur.

Jelasnya, nama Keropok Getel berasal daripada perkataan ‘gentel’ yang mengekalkan loghat negeri kelahirannya agar jenama tersebut berterusan meniti bibir pelanggan.

“Pada permulaan perniagaan selepas suami saya berhenti be­kerja, kami hanya berdua me­lakukan segala kerja di tepi jalan selama dua tahun.

“Kami kemudiannya berjaya membuka sebuah pejabat di Sungai Buloh dan seterusnya membuka lebih 40 cawangan di kawasan berdekatan termasuk satu di Jasin, Melaka sepanjang beroperasi,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Keropok Lekor 1 Minit, produk terbaharu yang diperkenalkan Khatijah turut dijual di Shopee dan TikTok.

Lebih menarik, Khatijah berkata, perniagaannya mula dikenali ramai sewaktu wabak Covid-19 melanda yang mana ketika itu, dia dan suami hanya berniaga di hadapan rumah sambil dibantu anak-anak.

“Ketika banyak perniagaan gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, perniagaan kami berdepan nasib yang sebaliknya.

“Waktu itu, permintaan untuk Keropok Getel ini sangat tinggi, sehingga ramai dalam kalangan jiran yang meminta untuk menjadi penghantar makanan kami.

“Sepanjang PKP, kami berjaya menjual lebih kurang 800 pek sehari,” jelasnya.

Situasi positif itu membantu pasangan ini membuka pejabat pada tahun sama ketika pandemik bermaharajalela dan mendapat permintaan baik daripada peniaga-peniaga kecil untuk menjual jenama mereka.

Usahawan itu berkata, selain daripada mengejar kejayaan, dia dan suami bermatlamat untuk mempertahankan warisan pembuatan keropok lekor secara tradisional supaya tidak lapuk ditelan zaman.

“Kelainan dan keunikan yang kami bawa dalam jenama Keropok Getel ini adalah adunan keropok lekor digentel secara segar di hadapan pelanggan sebelum digoreng.

“Secara tidak langsung, pe­langgan dapat merasa keropok getel yang segar dan masih panas sambil melihat sendiri cara pembuatan tradisional makanan ini,” ujarnya.

Khatijah berhasrat membawa jenama Keropok Getel ke pasaran global.

Menurut Khatijah, dia banyak mendapat ilmu dan panduan perniagaan daripada Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), antaranya menerusi program Be Your Own Boss (BYOB) untuk mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran.

Pasangan ini sendiri turut menyediakan program latihan dan pembangunan untuk rakan peniaga bermula teknik menggentel adunan, hinggalah kepada kawalan operasi perniagaan sehingga mahir.

Tambahnya, syarikat Keropok Getel baru-baru ini mengeluarkan satu produk baharu diberi nama Keropok Lekor 1 Minit, yang merupakan keropok lekor telah digoreng sebelum di­sejuk beku.

Ia turut dijual di platform Shopee dan TikTok bagi meluaskan lagi pengaruh pasarannya ke negeri-ne­geri lain.

Selain itu, syarikat juga menawarkan perkhidmatan kate­ring untuk kawasan berdekatan, khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Khatijah, dia dan suami menanam hasrat untuk membawa jenama Keropok Getel ke pasaran global pada suatu hari nanti.

Ujarnya, mereka telah menerima permintaan daripada Dubai, namun masih perlu melalui proses persediaan yang panjang, termasuk langkah memperkemaskan bungkusan produk supaya kelihatan lebih menarik.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI