LONDON – Mercedes membuat keputusan berani terutama perjalanan mereka musim depan apabila membawa masuk pelumba muda, Andrea Kimi Antonelli bagi mengambil alih kekosongan ditinggalkan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang menyertai Ferrari.
Antonelli yang dilihat sebagai bintang masa depan Mercedes mengakui, dia bersedia memberikan aksi terbaik sambil menegaskan bahawa gaya pemanduannya mempunyai banyak persamaan dengan idolanya, Hamilton.
“Dia (Hamilton) sangat baik dan banyak bercakap dengan saya. Dari segi gaya pemanduan, ia serupa dengan saya, terutama apabila berhadapan dengan kereta yang banyak.
“Saya belajar banyak terutama mendengar Hamilton sedang berbincang dengan jurutera semasa Grand Prix Singapura,” katanya.
Mercedes telah memberikan sokongan penuh kepada Antonelli, termasuk penghantaran alat simulasi perlumbaan untuk memastikan pelumba muda Itali itu dalam keadaan benar-benar bersedia musim depan.
“Kerusi dengan stereng akan tiba di rumah saya tidak lama lagi untuk membantu saya memahami prosedur penting, seperti pengendalian butang. Anda perlu tahu di mana setiap butang tanpa perlu melihatnya.
“Apapun, sasaran awal saya adalah mahu mengalahkan George Russell tahun depan,” ujarnya. – AGENSI