LONDON – Pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim dilaporkan menjadikan Goncalo Inacio dari kelab lamanya, Sporting Lisbon sebagai sasaran utama untuk memperkukuh barisan pertahanan pasukan itu.
Pemain antarabangsa Portugal berusia 22 tahun itu mempunyai klausa pelepasan yang dinilai sekitar £50.1 juta (RM282.4 juta) dan dianggap salah satu bakat muda terbaik di Eropah.
Amorim yang menggantikan Erik Ten Hag selepas era sukar di Old Trafford, dilihat bersedia untuk memperkenalkan formasi taktikal pilihannya, 3-4-3, bagi membawa semula United ke puncak kegemilangan.
Namun, langkah tersebut tidak mudah kerana Real Madrid turut berminat dengan Inacio sekali gus menjadikan perebutan itu semakin sengit.
Setakat ini, United mempunyai pemain pertahanan berkualiti seperti Matthijs de Ligt, Lisandro Martinez dan Leny Yoro, tetapi masih memerlukan beberapa pemain lagi apabila Victor Lindelof dan Jonny Evans dijangka meninggalkan kelab apabila kontrak mereka tamat hujung musim ini.
Inacio dilihat sebagai pemain yang mampu memberikan kestabilan kepada pertahanan United, terutamanya dalam menghadapi cabaran sengit pasukan-pasukan yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menerusi gaya permainan progresif, visi yang tajam dan kebolehan mengawal permainan dari bawah, pemain Sporting ini boleh menjadi kunci kepada kejayaan Amorim di Old Trafford.
Sekiranya perpindahan ini berjaya, ia akan menjadi langkah besar dalam misi Amorim untuk mengembalikan dominasi United di liga domestik dan pentas antarabangsa, yang telah lama dirindui oleh para penyokong. – AGENSI