SHAH ALAM – Kejatuhan harga tanah antara faktor sedang dipertimbangkan kerajaan negeri sebelum mempamerkan pelan risiko dan bahaya tanah runtuh di sesuatu lokaliti kepada awam.
Exco Infrastruktur dan dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, sekiranya dipamerkan secara tidak sewajarnya akan menyebabkan spekulasi harga tanah.
“Namun, dalam masa sama tidak boleh mengabaikan keperluan untuk maklumkan kepada rakyat kemungkinan tempat itu adalah bahaya demi menjaga kemalashatan penduduk.
“Ini dua faktor sedang dipertimbangkan untuk dilihat sebelum membuat keputusan sama ada perlu mempamerkan secara menyeluruh atau berperingkat.
“Kita sudang bincang namun belum buat keputusan cara mempamerkannya kepada orang awam,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN – Hulu Kelang) sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkan pelan tersebut.
Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan pihaknya sedang meneliti mewujudkan badan khusus mengabungkan semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Galian bagi melihat secara terperinci dalam pengurusan kawasan-kawasan berisiko tanah runtuh secara bersama.
Tambahnya, meletakkan alatan sistem amaran awal dianggap tidak praktikal bagi semua kawasan susulan banyak negara sudah tidak mengamalkannya.
“Fenomena aliran puing atau keruntuhan ini berlaku kadang-kadang tiada tanda dan meletakkan alat sensitif dan mahal ini adalah tidak begitu boleh kecuali tempat itu telah tanda-tanda (runtuhan).
“Namun, paling penting adalah penyelenggaran sebab dapati beberapa kawasan runtuhan tiada aspek tersebut. Kita telah siapkan prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaran untuk dilaksanakan semua pihak berkuasa tempatan dan JKR dalam meminimunkan risiko,” katanya. -KOSMO!ONLINE