SHAH ALAM – Hanya 100 daripada 231 ahli Global Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didapati telah berkahwin.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, ia hasil semakan rekod perkahwinan melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia dan sistem dalam talian lain.
Justeru, kata beliau, JAIS akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang Syariah sedia ada di negeri ini termasuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
“Selain itu, bahagian pengurusan penguat kuasaan JAIS telah menangkap seramai 138 orang ahli GISBH bermula 22 September hingga 1 November lalu.
“Ini melibatkan 41 lelaki dan 97 wanita yang akan didakwa di bawah akta 611 kanak-kanak di bawah kesalahan pemerdagangan dan pemelarian kanak-kanak dan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi (PH – Seri Serdang) ingin mengetahui peranan kerajaan negeri untuk membantu mereka yang terlibat dalam GISBH.
Menurut Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka merujuk kepada Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jelasnya, ini atas kesalahan melanggar fatwa berkenaan Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) yang telah diwartakan pada tahun 1993, 1994 dan 2006 yang menyatakan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar.
“JAIS juga telah menemu bual seramai 438 kanak-kanak (mangsa) GISBH melibatkan 226 di Selangor, Pulau Pinang (155), Johor (14) dan Negeri Sembilan (3) yang berumur antara 12 dan 17 tahun untuk mendapatkan gambaran dan keadaan mereka sepanjang berada di bawah kumpulan GISBH bagi membantu siasatan terhadap individu yang akan didakwa,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan modul pemulihan ahli GISBH sentiasa dikaji dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS terbuka dalam menyegarkan program berkaitan.
“Sebab kita telah tegaskan bahawa modul pemulihan ini harus dilihat semula dan tidak boleh gunakan kaedah sama bagi mengelakkan berulangnya pelaku daripada Al-Arqam kepada Rufaqa seterusnya GISBH.
“Sekiranya dapat diperbaiki, modul ini juga akan digunakan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pemulihan lebih besar di peringkat negara,” katanya.
Ketika menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH -Meru) berkaitan pengembalian anak-anak GISBH yang dipisahkan daripada ibu kandung mereka, Mohammad Fahmi menegaskan saringan lebih terperinci sedang dijalankan dalam melihat keparahan anak-anak tersebut dengan pegangan atau ideologi dibawa GISBH.
“Hasil awal kita temui hanya 10 atau 15 peratus yang terkesan menunjukkan bahawa kebanyakan yang lain boleh dilepaskan pada minggu ini atau minggu akan datang.
“Sebuah Mahkamah Kanak-kanak akan ditubuhkan dengan anak-anak tidak terkesan akan dipulangkan semula kepada ibu bapa mereka dengan syarat ibu bapa itu telah ‘clear’ daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mereka tidak terkesan.
“Namun, dalam perintah pelepasan itu akan dimasukkan klausa bahawa anak-anak ini akan dikunjungi dan dilakukan beberapa pemeriksaan. Sekiranya mereka pulang ke jalan asal (GISBH), kita boleh panggil balik untuk pulihkannya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE