KUALA LUMPUR – Tanggungan dalam keluarga serta status pekerjaan akan turut diambil kira sebagai sebahagian daripada indikator kos sara hidup dalam memutuskan kriteria penyaluran subsidi RON95.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, ia merangkumi statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara eHidup (IKSH) yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Sekiranya penyasaran subsidi RON95 berlaku kelak, tentunya akan ada impak kepada isi rumah yang menggunakan RON95. Dalam kajian yang dibangunkan DOSM di mana KPDN turut serta diberi taklimat memang indikator ini diambil kira.
“Kalau ada dua kereta, isteri dan suami bekerja, anak sekolah, anak belajar universiti, semua ini termasuk dalam perkiraan indikator kos sara hidup ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berhubung indikator kos sara hidup dalam memutuskan kriteria penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat.
Menjawab soalan asal Azahari, Fuziah berkata, kerajaan akan meneruskan Program Jualan Rahmah dan Agro Madani untuk jualan murah pada tahun depan bagi membantu rakyat berhadapan isu kenaikan harga barang.
Jelas beliau, program berkenaan akan adakan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula, beliau berkata, sebanyak 60 juta peket minyak masak subsidi dikeluarkan setiap bulan.
Bagaimanapun, katanya, masih ada pihak mengambil kesempatan termasuk yang menggunakan minyak masak subsidi untuk kegunaan di restoran.
“Perkara ini akan dibanteras habis-habisan dan ini tugas penguat kuasa kita. Kita akan pastikan tiada ketirisan berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE