fbpx

Dewan Rakyat: NSRC terima 131,036 panggilan babit penipuan dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima sebanyak 131,036 panggilan berhubung penipuan dalam talian daripada orang ramai antara Oktober 2022 hingga September lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, sebanyak 52,836 panggilan itu daripada mangsa penipuan dengan jumlah kerugian RM302.1 juta.

“Sebanyak 103,557 akaun bank telah dikesan sebagai akaun keldai yang digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk memindahkan wang mangsa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkenaan undang-undang yang memberi kuasa kepada polis atau bank menyekat sementara urus niaga perbankan individu yang menjadi sasaran penipuan, tetapi enggan percaya mereka sedang diperdaya.

Terdahulu, Kulasegaran berkata, bagi menangani jenayah penipuan dalam talian, kerajaan telah meminda Akta 574 dan Akta 593 dengan memberikan kuasa kepada polis untuk menyita wang yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan.

Kata beliau, Akta 593 antaranya memasukkan peruntukan baharu iaitu Seksyen 116D untuk memberi polis berpangkat tidak rendah daripada sarjan untuk menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau mana-mana akaun di institusi kewangan.

Ujar beliau, pindaan itu membolehkan pihak polis untuk tidak hanya menyita, tetapi untuk menghalang harta tersebut dibuat urus niaga lain dengan tujuan untuk menghalang duit mangsa dikeluarkan dari ‘mule account’

“Ini seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada iaitu Seksyen 435 Akta 593 berkenaan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki telah dicuri (termasuk penipuan) yang lebih menjurus kepada harta fizikal,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Lip Eng berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keselamatan Dalam Talian, Kulasegaran memaklumkan, RUU tersebut dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Jelas beliau, RUU itu antara lain akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan mana-mana kandungan yang dilaporkan sebagai kandungan memudaratkan.

“Sekiranya sesuatu kandungan itu dilaporkan sebagai jenayah kewangan dalam talian, maka penyedia platform mempunyai kewajipan menurunkan kandungan tersebut secara interim sehingga siasatan lanjut dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI