KUALA LUMPUR – Pendirian kerajaan adalah untuk mengembalikan kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) ke pangkuan ibu bapa dan keluarga mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara yang menjadi keutamaan kerajaan
Menurut beliau, ia merupakan pendekatan kerajaan bagi memastikan kanak-kanak terbabit tidak terabai serta dapat menjalani kehidupan normal.
“Pemantauan perkembangan kanak-kanak berkenaan secara berkala menerusi penglibatan dan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain pakar pedagogi, psikologi dan akidah akan diteruskan.
“Mengambil kira kesan trauma jangka panjang kanak-kanak, kerajaan juga melaksana modul rehabilitasi GISBH, merangkumi pemulihan akidah, kaunseling, kenegaraan, pendidikan dan latihan kemahiran.
“Kerjasama komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dilibatkan untuk mewujudkan sokongan sosial yang kukuh untuk kanak-kanak berkenaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) menangani langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu GISBH.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyusun lima langkah efektif dan berkesan dalam menangani isu GISBH.
Menurut beliau, lima langkah itu termasuk mengadakan pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri serta penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah perundangan syariah negeri-negeri.
Kata beliau, langkah lain mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISBH, menjalankan pemantauan berterusan secara bersepadu dan mengadakan program penjelasan fatwa GISBH kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE