PETALING JAYA – Nisbah orang kelainan upaya (OKU) autisme berdaftar berbanding pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan lain tidak mencukupi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 33 buah pusat jagaan autisme berdaftar dengan JKM.
“Manakala bagi pendaftaran OKU masalah pembelajaran bagi kategori austime bagi tempoh yang sama pula adalah seramai 65,191 orang.
“Justeru, kerajaan sentiasa cuba melaksanakan inisiatif yang dapat memberi sokongan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung perancangan KPWKM bagi meningkatkan bilangan pusat autisme di seluruh negara.
Nancy menjelaskan, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan autisme termasuk kerjasama dengan komuniti serta Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK).
Kata beliau, sehingga September 2024, seramai 19,907 OKU sedang menerima perkhidmatan di 573 Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negara.
Menurut beliau, kerajaan menyalurkan bantuan untuk meringankan beban kos pengoperasian PDK dan OKU terlibat menerima elaun di PDK sebanyak RM300 sebulan.
“Pada tahun 2024 sahaja, sehingga bulan September, sebanyak RM137.4 juta bantuan kewangan telah disalurkan demi manfaat kesemua PDK di seluruh negara.
“Kerajaan bekolaborasi dengan PSK menubuhkan 11 buah Taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU merangkumi sindrom down, autisme, penglihatan, pendengaran, fizikal dan masalah pembelajaran,” katanya.
Kata beliau, JKM turut menyalurkan geran bantuan kewangan kerajaan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Kebangsaan (NASOM) dengan jumlan dicatatkan dari tahun 2020 sebanyak RM5.78 juta.
Tambah beliau, Belanjawan 2025 pula menyaksikan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme dan RM15 juta bagi Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme.
“KPWKM akan memperincikan perancangan ini dalam sedikit masa lagi dan dengan sokongan semua, kita usahakan demi yang terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE