fbpx

Chery bangunkan kereta bersama pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 18 wakil KOC dan KOL dari Malaysia yang menghadiri Sidang Kemuncak Pengguna Antarabangsa Chery kali ini.

DALAM industri automotif yang semakin kompetitif dan mencabar, pengeluar kendera­an dilihat berlumba-lumba untuk memperkenalkan ciri serta teknologi baharu yang dianggap inovatif bagi menarik perhatian pelanggan sasaran.

Ketika sebarang penambahbaikan pada kenderaan amat dialu-alukan, sesetengah ciri-ciri baharu yang diperkenalkan pengeluar lebih bersifat gimik, ia hanya kelihatan logik di atas kertas dan pada akhirnya langsung tidak digunakan.

Trend ini telah diketengahkan oleh Presiden Chery International, Zhang Guibing pada Sidang Kemuncak Pengguna Antarabangsa Chery 2024 di Wuhu, China baru-baru ini.

Menurutnya, secara purata, 38 peratus daripada fungsi yang ditawarkan pada kenderaan tidak digunakan pengguna, berdasarkan kajian firma penyelidikan pasaran, J.D. Power.

Malah beliau mengakui pihaknya sendiri tidak dapat lari daripada masalah ini, yang mana meskipun di bawah purata glo­bal, dianggarkan kira-kira 33 peratus fungsi pada kenderaan Chery tidak digunakan.

“Ketika kami memiliki banyak teknologi yang berlainan, laporan oleh J.D. Power bulan lalu menyatakan disebabkan terlalu banyak pilihan fungsi diletakkan pada kenderaan, sebahagian besar daripadanya langsung tidak disentuh pengguna.

Zhang membentangkan hala tuju Chery International pada Sidang Kemuncak Pengguna Antarabangsa Chery 2024 di Wuhu.

“Setiap pilihan yang ditawarkan ini hadir dengan kos, jadi kami perlu memberikan keseimbangan dan ciri yang benar-benar diperlukan pengguna dengan keutamaan dari segi keselamatan dan penjimatan.

“Untuk negara beriklim sejuk misalnya, kami perlu perlu menawarkan pakej musim sejuk dan bagi rantau beriklim panas se­perti di Asia Barat, pakej musim panas boleh ditawarkan.

“Sebab itu bermula tahun lalu, kami menjemput pelanggan Chery dari seluruh dunia untuk hadir berkumpul di sini setiap tahun dan dalam tempoh seminggu lalu, kami telah melaksanakan pelbagai aktiviti bersama mereka untuk memahami sebaiknya ciri yang diinginkan pelanggan di rantau yang berlainan.

“Usaha ini menjadi model yang amat penting bagi Chery International,” katanya.

Sebanyak 667 key opinion leader (KOL) dan key opinion customer (KOC) Chery dari 76 buah negara hadir pada Sidang Ke­muncak Pengguna Antarabangsa Chery bulan lalu.

Ini termasuk 18 KOC dan KOL dari Malaysia.

Wakil dari Malaysia, Nur Afiqah Mohd. Nazaran menceritakan pengalamannya menggunakan kenderaan Chery.

Dengan fokus mendalam kepada pelanggan, tidak hairan Chery terus menjadi pengeks­port kenderaan penumpang terbesar di China untuk tempoh 21 tahun berturut-turut.

Bagi sembilan bulan pertama 2024, Chery mengeksport 829,000 unit kenderaan, iaitu 2.1 kali lebih tinggi berbanding pesaing terdekatnya di China.

Zhang menambah, pihaknya juga mementingkan soal kualiti, antara faktor yang membantu trend peningkatan jualan kende­raannya di luar negara, ketika pasaran automotif bagi jenama China di luar negara telah me­ngalami kemerosotan baru-baru ini.

“Chery menduduki ranking pertama di tiga penilaian kua­liti utama oleh J.D. Power dalam kalangan jenama dari China, iaitu IQS (Initial Quality Study), APEAL (Automotive Performance, Execution and Layout Study) dan SSI (Sales Satisfaction Index Study),” ujarnya.

Di Malaysia, inisiatif With Chery With Love (WCWL) merupakan program khidmat selepas jualan yang disediakan oleh Chery Malaysia bagi memberikan soko­ngan dan kepuasan tambahan buat pemilik jenama itu di sini.

Inisiatif berkaitan kelestarian alam sekitar antara aktiviti yang dilaksanakan acara setahun sekali itu.

Selain usaha untuk meningkatkan pengalaman selepas jualan dengan menyediakan pakej komprehensif yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelanggan, WCWL turut menjadi platform untuk mengumpul maklum balas dan menghantar wakil pengguna di sini ke Sidang Kemuncak Pengguna Antarabangsa Chery setiap tahun.

Tahun lalu, Chery Malaysia merekodkan jualan sebanyak 4,501 unit daripada dua model yang ditawarkannya iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI