GERIK – “Ana, timbullah Ana, abah tunggu lama dah. Abah nak jumpa Ana, mak pun nak jumpa. Abah maafkan semua Ana”.
Demikian rintihan pilu Azizan Md. Din, 60, bapa kepada Nur Arina, 20, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, Mukim Kerunai di sini semalam.
Bapa kepada empat anak itu berulang kali memanggil nama anak keduanya sambil menangis dan melihat arus Sungai Air Beruk yang mengalir deras.
Terdahulu, Azizan yang ditenangkan ahli keluarga melaungkan azan di lokasi mangsa dipercayai dibawa arus sebagai ikhtiar dalam usaha pencarian wanita tersebut.
Azizan ketika ditemui media berkata, dia akan menunggu di lokasi kejadian sehingga anak perempuannya itu berjaya ditemui.
“Apa keadaan pun, saya minta agar anak selamat. Saya akan tunggu dia di sini sehingga dijumpai. Itu harapan saya.
“Sekarang pun, banyak surau buat solat hajat untuk dia. Saya doa banyak-banyak dan buat apa yang termampu sebagai ikhtiar untuk dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE