KUALA LUMPUR – Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) dijulang selaku juara Piala Supermokh kategori Bawah 14 Tahun (B-14) selepas menumbangkan kelab Thailand, Buriram United 2-1, hari ini.
Walaupun Buriram United hadir selaku juara bertahan, Akademi JDT nyata lebih hebat untuk memenangi perlawanan sekaligus mengikut jejak pasukan ‘abang’ yang mendominasi saingan bola sepak tempatan.
Pada perlawanan akhir di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) itu, kapten pasukan Muhammad Fareez Danial Fadzly tampil sebagai wira pasukan apabila berjaya menghadiahkan dua jaringan, masing-masing pada minit ke-19 dan 57.
“Perlawanan yang cukup kompetitif namun kami mempunyai pasukan yang bagus dan mampu mengikut perancangan dalam setiap perlawanan. Pemain begitu fokus dan bersiap sedia untuk harungi pertandingan ini.
“Pada akhirnya mereka memperoleh keputusan yang bagus,” kata pengendali Akademi JDT, Rodolfo Villa.
Dalam saingan B-13, wakil China, Zhejiang PFC mengungguli aksi final selepas menumbangkan tuan rumah AMD B-13 Future 1-0.
Sementara itu, skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A mempertahankan kejuaraan kategori B-12 tahun selepas mengecewakan Pattaya United 1-0. – KOSMO! ONLINE