ALOR GAJAH – Ahli keluarga Mokthar Othman, 61, pengurus kilang yang dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai dekat sini, semalam membuat bacaan Yasin di lokasi, sejak awal pagi tadi.
Kira-kira 50 ahli keluarga di lihat berada di lokasi sambil menunggu perkembangan pencarian mangsa yang kini memasuki hari kedua.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diteruskan sepanjang malam tadi meskipun tidak menjumpai sebarang petunjuk.
Katanya, operasi pada hari ini akan dilakukan secara lebih intensif dengan penambahan jumlah keanggotaan dan pergerakan bantuan khidmat anjing pengesan Unit K9.
“Pencarian Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga akan lebih jauh dari semalam.
“Untuk makluman, kita tidak menolak kemungkinan orang yang hilang berada di tempat lain. Pencarian di sini adalah berdasarkan beberapa petunjuk fizikal seperti selipar di tebing dan rakaman video daripada kamera papan pemuka mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan gara-gara tandas awam berkunci, seorang pengurus kilang berusia 61 tahun dikhuatiri lemas akibat tergelincir dipercayai ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, awal pagi tadi.
Zulkhairani berkata, panggilan kecemasan diterima daripada ahli keluarga mangsa pada pukul 5.39 pagi memaklumkan warga emas itu telah hilang dan dikhuatiri terkunci di dalam tandas awam di Sungai Pengkalan susulan menemui kenderaannya di lokasi berkenaan.
Mangsa dikatakan ada memberitahu kepada isterinya bahawa dia mengalami sakit perut sebelum keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi.
Dia bagaimanapun gagal dihubungi sehingga pukul 5 pagi menyebabkan ahli keluarganya keluar mencarinya di beberapa kawasan termasuk restoran mamak, hospital dan tandas awam. – KOSMO! ONLINE