LONDON – Sebuah keluarga di Denbighshire, United Kingdom menyatakan bahawa mereka sudah ‘lali’ dengan persekitaran sibuk kerana tinggal di sebuah rumah yang terletak di tengah-tengah bulatan jalan selama 40 tahun, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Clwyd Howatson, 65, berkata, dia biasa mendengar bunyi kereta lalu-lalang di sekeliling rumahnya di pintasan Denbigh.
Banglo milik keluarga itu sudah berada di situ selama lebih 60 tahun, sebelum bulatan tersebut dibina.
Bapa Clwyd, David John dan ibunya, Eirian Howatson berpindah ke banglo itu pada 1960 sebelum pelan untuk membangunkan bulatan jalan diserahkan.
Disebabkan enggan berpindah, kedua-dua mereka kekal di situ sehingga bulatan tersebut siap dibina pada 1980, menyebabkan kediaman itu menjadi satu-satunya rumah yang masih tinggal.
“Pemandangan dari rumah kami amat indah dan kami bertuah dapat melihat pemandangan seumpama itu.
“Jalan ini menjadi sangat sibuk pada waktu puncak, namun hanya beberapa kali dalam sehari,” ujarnya.
Clwyd berkata, dia dan isterinya ada mempertimbangkan untuk berpindah keluar apabila usia mereka semakin tua, namun berharap rumah itu akan kekal menjadi warisan keluarganya. – AGENSI