JAKARTA – Jepun semakin hampir untuk mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia 2026 selepas membelasah Indonesia 4-0 pada aksi Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia (WCQ) 2026 di Stadium Gelora Bung Karno malam kelmarin.
Empat gol hasil jaringan Takumi Minamino, Hidemasa Morita, Yukinari Sugawara dan gol sendiri Justin Hubner memastikan Jepun selesa mendahului saingan peringkat kumpulan menerusi perbezaan tujuh mata dengan pasukan tangga kedua, Australia.
Ketua Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu gembira dengan kejayaan pasukan itu mengutip tiga mata penuh, namun tetap memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu selesa meskipun sudah mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu.
“Saya sangat gembira kerana kami dapat mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan tetapi kami masih belum mencapai apa-apa pun. Selagi tidak mengesahkan kelayakan, kami perlu terus catat kemenangan.
“Sebelum perlawanan bermula, saya beritahu kepada semua pemain bahawa perlawanan itu tidak akan mudah dan ia benar-benar terjadi apabila Indonesia memberikan tekanan kepada kami menerusi peluang-peluang yang dicipta,” katanya.
Sebagai rekod, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia 2026, manakala pasukan ketiga dan keempat perlu mengharungi satu lagi pusingan kelayakan.
“Saya berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke stadium, tidak kira Jepun atau Indonesia kerana ia memberi kekuatan kepada pemain kedua-dua pasukan untuk beraksi,” ujar Moriyasu. – AGENSI