PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan pengalaman seram apabila ‘diganggu’ makhluk bukan manusia sewaktu menunaikan solat isyak di sebuah surau di kawasan rehat & rawat (R&R) di selatan Selangor.
Menerusi hantaran X Syazwan Zanini, ketika kejadian dia berada di surau tersebut seorang diri dan ‘diganggu’ makhluk berkenaan selepas dia mengakhiri solat isyak dengan memberi salam.
“Aku baru kena kacau. Aku berhenti isyak sini seorang diri. Habis solat, aku bagi salam, aku dengar orang bagi salam juga. Aku pusing tak ada orang.
“Nasib baik dia tak tutup lampu. Sekarang aku dalam kereta tak boleh ‘drive’,” katanya pada hantaran itu.
Syazwan turut berkongsi tangkap layar cariannya menerusi Google dan mendapati, kawasan tersebut popular dengan kisah seram.
“Famous dengan hantu rupanya. Tapi aku jumpa tadi jin Islam kot. Aku memang rasa ada orang ikut solat, tapi aku intai kat cermin tingkap (macam cermin sebab berpantul), tak nampak orang. Tapi aku intai sekali imbas sebab tengah solat,” katanya.
Hantaran itu mendapat maklum balas termasuk pengguna X yang lain yang mana mereka berkongsi pengalaman hampir sama.
“Benda biasa bang. Kalau ustaz yang solat pun cuak. Fitrah perasaan tu, cuma makhluk yang ikut tu baik, insya-Allah. Saya dulu pernah jadi imam kat masjid yang jemaah jarang-jarang ada, jadi saya faham.
“Saya paling ‘nervous’ (resah) kalau waktu subuh, maghrib dan isyak. Rasa meremang tu memang tak boleh cakap lah kalau solat seorang,” komen Ridhuan Malik.
“Pernah kena dekat surau sekolah. Solat asar waktu semua pelajar asrama cuti, kena datang sekolah sebab ada program luar. Sembahyang dekat tengah surau, lepas tu waktu rukuk, dekat celah kangkang nampak kain putih solat sekali.
“Terus bangun lari keluar surau. Sebelum keluar toleh sekejap, rupanya memang tak ada orang,” kata Nizam Ahmad Daud. – KOSMO! ONLINE