fbpx

‘Saya tidak akan lari, apa boleh bincang, kita bincang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB nekad mahu menyaman seorang pengguna TikTok yang melemparkan tuduhan melampau berhubung jenama dan pemilikan syarikat minumannya, Bubblebee.

KETIKA beberapa artis popular tanah air terpaksa naik turun mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumah tangga, berbeza pula nasib pelawak dan usahawan Shuib.

Pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad itu pula perlu berdepan dengan pelbagai pertuduhan membabitkan tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Biarpun diduga dengan pelbagai cabaran, namun Shuib tetap optimis dan positif bahawa segala kejadian yang berlaku bersifat sementara.

“Kalau nak kata saya gagal, saya masih belum menyerah kalah dan masih menggalas tanggungjawab dengan baik. Ramai kakitangan yang nak saya berjuang sehingga perkara ini pulih kembali.

“Saya anggap apa yang berlaku ini adalah satu cabaran. Insha-Allah tahun 2025 saya akan bangkit dengan perancangan baharu,” katanya.

Tidak lepas daripada tanggungjawab, Shuib berkata, tiada sebab untuk melarikan diri apatah lagi menidakkan kenyataan yang berlaku depan mata.

“Saya tidak akan lari. Apa yang boleh dibincangkan, saya akan berbincang dan jika perlu ke mahkamah saya akan pergi. Saya dah hadap macam-macam termasuk ada perniagaan yang bagus, tetapi Allah ambil isteri saya. Itu adalah dugaan yang berat.

“Jadi apa yang saya lalui sekarang ini adalah dugaan kecil. Saya anggap perkara ini adalah normal tapi saya bukan nak normalisasikan faedah kakitangan atau cukai.

“Cuma saya harap dugaan yang saya hadapi ini tidak akan mengganggu perancangan saya untuk maju ke depan. Lagipun perniagaan saya ini bukan diboikot, malah mendapat sambutan tinggi terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terkesan, selain tuduhan berisiko melibatkan kerugian jutaan ringgit Shuib nekad mahu mengambil tindakan saman terhadap seorang pengguna TikTok yang dirasakan melampau batas.

“Sekiranya bercakap soal pengasas sesebuah produk, kita kena fikir apakah kesan yang berlaku kepada individu itu dan juga jenama.

“Jika kesan tidak baik dan boleh mengakibatkan kerugian, perkara itu tidak adil untuk saya dan syarikat memandangkan tuduhan tersebut tidak berasas,” katanya yang ditemui dalam sidang media Bocey Comeback Live In Singapore pada Jumaat.

Shuib turut meminta agar khalayak tidak membuat sebarang spekulasi tentang jenama minuman tersebut hanya kerana pengarah bersama syarikat berkenaan berbangsa Cina.

“Adakah individu itu cuba untuk menggunakan elemen perkauman di sini? Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.

“Apa yang ingin saya tegaskan ialah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar.” katanya.

Seperti kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa. Begitulah reaksi isteri Shuib iaitu Watie Hanifiah menafikan hal itu dan memberitahu, sudah bertahun suaminya tidak menerima gaji daripada syarikat sendiri.

Dakwa Watie, Shuib menjadi mangsa akibat kegagalan pengurusan terdahulu.

“Pengurusan lama yang bermasalah tetapi akhirnya Shuib yang difitnah begini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI