PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah susulan dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri berkenaan.
SPRM dalam kenyataan berkata, SPRM Sabah telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah itu.
Jelasnya, siasatan awal berhubung aduan tersebut telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan perniagaan terbabit.
“Setakat ini, lima orang ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya, hari ini.
SPRM berkata, pihaknya menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.
Ketika pertemuan itu, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang wang.
Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. – KOSMO! ONLINE