fbpx

Perkongsian strategik Malaysia-UAE, langkah baik ke pentas global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika mengadakan perbincangan bersama Suhail Mohamed di Dubai hari ini.

PETALING JAYA – Perkongsian strategik antara dua negara, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diharap dapat mengangkat kedudukan negara di pentas global dalam beberapa sektor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam pertemuan bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei, beliau telah membincangkan empat kerjasama yang boleh mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE.

“Pertama, kami berbincang mengenai isu keterjaminan makanan di mana saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, teknologi tersebut sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia, pastinya dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westports.

“Manakala ketiga, perbincangan mengenai peluang kerjasama dalam pengurusan bencana. Saya sendiri telah melihat, UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih.

“Ini berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal yang mampu meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani bencana dengan lebih cekap.

“Perkara keempat yang turut dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau,” jelas beliau.

Tambah Ahmad Zahid, UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut.

“Saya telah menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di negara kita.

“Saya turut menjemput pihak UAE untuk bersama-sama menghadiri Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai 2024 yang bakal berlangsung di Dubai World Trade Centre bermula 18 hingga 20 November ini,” katanya.

Pameran ini katanya diharap menjadi platform untuk memperkenalkan produk-produk Malaysia dan mengundang UAE untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang kedua pada tahun hadapan di mana Malaysia adalah Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI