ALOR GAJAH – Gara-gara tandas awam berkunci, seorang pengurus kilang berusia 61 tahun dikhuatiri lemas akibat tergelincir ke dalam sungai ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai dekat sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, panggilan kecemasan diterima daripada ahli keluarga pada pukul 5.39 pagi tadi melalui talian MERS 999.
Katanya, pemanggil memaklumkan mangsa, Mokhtar Othman telah keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi dan tidak dapat dihubungi sehingga pukul 5 pagi dibimbingi telah terkunci di dalam sebuah tandas awam susulan warga emas itu ada memberitahu mengalami sakit perut.
Ujarnya, ahli keluarga mangsa turut membuat pencarian di beberapa lokasi termasuk di restoran mamak, hospital sebelum menjumpai kenderaan mangsa di hadapan tandas awam di Sungai Pengkalan.
“Kami dapati tandas tersebut berkunci, manakala barangan peribadi ditinggalkan di dalam kenderaan. Menerusi kamera di papan pemuka kereta memaparkan mangsa kelihatan mundar-mandir di hadapan tandas dipercayai disebabkan ia berkunci kira-kira pukul 2 pagi,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan pasukan bomba di kawasan sekitar kemudian menjumpai sepasang selipar di tebing sungai yang dipercayai milik mangsa dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sungai tersebut serta sekitar kawasan rekreasi.
“Operasi masih berjalan dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama bot penyelamat selain khidmat anjing pengesan Unit K9 untuk membuat pencarian di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE