fbpx

Pemilik syarikat direman, subahat tuntutan palsu RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman, pagi tadi. Foto SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 20 November telah dikeluarkan oleh Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

Ia selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2019 sehingga tahun ini.

“Tangkapan terhadap suspek adalah susulan tangkapan membabitkan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada Rabu lalu,” katanya, hari ini.

Tambah sumber, suspek yang juga merupakan pengurus sebuah syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki telah mengemukakan tuntutan palsu syarikatnya bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan-tuntutan palsu tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI