KAJANG — Penyanyi dan pencipta lagu tersohor negara, Datuk M Nasir, 67, menyifatkan industri seni tanah air telah kehilangan seorang komposer berprolifik yang tiada galang gantinya seperti Allahyarham Datuk S Atan.
Turut meluahkan rasa sedih, M Nasir berkata, S Atan umpama permata seni negara dan gelaran Raja Lagu-Lagu Pop sememangnya layak buat dirinya.
“Dalam perjalanan dunia seni muzik ini, kita akan dapat jumpa komposer macam Allahyarham, 10 tahun sekali. Orang macam arwah, karyanya bagus dan besar.
“Saya masih ingat, tahun 70-n dan 80-an, itu adalah kemuncak kerjaya dan karyanya. Kemudian, tahun 80-an muncul pula orang lain.
“Tetapi dalam 10 tahun tempoh itu, dia memang boleh kita anggap sebagai Raja Pop khususnya penciptaan lagu-lagu Pop,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam nada penuh penghormatan, pelantun lagu Tanya Sama Itu Hud Hud mengimbas era kegemilangan S Atan yang menyumbang kepada landskap muzik Malaysia, terutama pada dekad 1970-an dan 1980-an.
Katanya, S. Atan berjaya menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja relevan, malah meninggalkan kesan mendalam dalam dunia muzik Melayu.
Ditanya mengenai kenangan terakhir bersama arwah, M. Nasir berkata, mereka sempat bertemu beberapa bulan lalu. Namun, kenangan yang paling diingatinya adalah ketika arwah menjadi pemuzik untuk konsert beliau di Manchester, England, pada tahun 1997.
“Saya bukan selalu dengan dia, kami jumpa pun dah sangat lama. Tetapi antara kenangan yang saya ingat bersama arwah ialah semasa dia pernah menjadi pemuzik semasa saya mengadakan persembahan di Manchester.
“Ketika itu adalah satu-satunya tempoh yang lama saya dapat bersama dengan S Atan untuk menjayakan sebuah persembahan.
“Lagi satu, semasa saya buat sebuah dokumentari tentang muzik sebelum ini. Saya pernah temu bual dia dan kami berbincang mengenai perkembangan industri seni. Ada juga meluahkan tentang kekecewaan berkenaan industri ketika itu namun bagi saya dia tetap seorang komposer yang prolifik dan pengaruhnya dalam dunia muzik pop Melayu ini sangat besar,” ujarnya.
Allahyarham Datuk S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.53 petang, Sabtu lalu akibat komplikasi jantung.
Jenazah disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Pada 16 September lalu, arwah sempat mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Sebelum ini, beliau juga pernah dirawat di hospital pada 2006 kerana angin ahmar dan sekali lagi pada 2019 akibat masalah buah pinggang.
Allahyarham meninggalkan legasi seni yang tiada tandingan, dengan karya-karya malar segar yang terus hidup dalam hati peminat muzik. – KOSMO! ONLINE.