fbpx

NFDP: FAM akui baharu dilibatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM NFDP dan para pelatih bakal diperkasakan dengan bantuan daripada FAM yang sedia memberikan bantuan yang wajar. - FB NATIONAL FOOTBALL DEVELOPMENT PROGRAMME

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan bahawa penglibatan badan induk bola sepak negara itu dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) secara aktif hanya bermula pada 2022.

Sejak penubuhan 10 tahun lalu, semua program dan perbelanjaan NFDP diuruskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM selaku badan induk bola sepak negara hanya memperoleh laporan ringkas menerusi mesyuarat yang dihadiri wakil FAM sahaja.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram mendedahkan bahawa FAM tidak pernah terlibat secara langsung sejak awal penubuhan NFDP pada tahun 2014.

“Kita hanya mula terlibat secara aktif dalam NFDP pada tahun 2022 selepas Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sebelum tahun 2023, kita tidak terlibat dalam mana-mana jawatankuasa dan tidak dijemput menghadiri apa-apa mesyuarat NFDP.

“Antara sebabnya adalah pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020 dan 2021 sehingga tiadanya mesyuarat Jawatankuasa Pemandu. Ketika ini, FAM mempunyai wakil dalam beberapa Jawatankuasa NFDP yang telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja,” katanya

Kosmo! semalam melaporkan isu prestasi yang dialami lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berada di Bawah NFDP dikaitkan dengan masalah proses pemilihan pemain sejak dari akar umbi lagi.

Ditanya apakah cadangan FAM yang dirasakan perlu untuk menambah baik program NFDP, Sivasundaram memberitahu, FAM giat bekerjasama dengan Pengarah Teknikal NFDP, Oscar Gonzalez Diaz untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

“Hasil penilaian dan kajian oleh Pengarah Teknikal NFDP yang baru dilantik, Oscar Gonzalez Diaz, FAM sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif strategik dengan kerjasama NFDP. Ia bertujuan untuk memperkasa program akar umbi, seterusnya memastikan kualiti pemain di seluruh negara berada pada tahap tertinggi.

“Kami juga komited untuk menyediakan peluang kompetitif yang kerap untuk pemain Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) seperti liga kebangsaan bagi kategori Bawah 15 Tahun dan B-16 yang mana ia akan menjadi platform menilai prestasi pemain bagi menghadapi kempen Piala Dunia B-17.

“Pada masa sama, kami sedang berusaha untuk meningkatkan penglibatan dan kerjasama dengan pihak Persatuan Bola Sepak (FA) negeri selain mengadakan kursus ‘refreshner’ kejurulatihan kepada Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) dan mempelawa pemain terbaik dari SSN dan PLD untuk berlatih di AMD.

“Pendekatan itu mencerminkan komitmen kami untuk membina struktur pembangunan bola sepak yang lebih kukuh di negara ini dengan memberi tumpuan kepada aspek konsistensi, kejurulatihan berkualiti dan pengenalan bakat muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI