KUALA LUMPUR – Impian pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk membawa pulang gelaran Kejohanan Badminton Kumamoto Masters tidak kesampaian apabila sekali lagi tewas di tangan pemain China, Li Shi Feng sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto Prefectural, Jepun tersebut, Jun Hao yang turun selaku pemain bukan pilihan bergelut untuk mengekalkan persembahan memukaunya sebelum tewas 10-21, 13-21 dalam tempoh 44 minit.
Jun Hao tidak bermula baik apabila membenarkan Shi Feng menguasai sepenuhnya set pertama bagi membolehkan pilihan ketujuh kejohanan itu tampil agresif sebelum mencatat kemenangan 10-21 dalam tempoh 22 minit.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Jun Hao yang juga pemain ranking No. 31 dunia itu mula mengatur rentak dengan perlawanan lebih agresif pada set kedua, namun usaha untuk mengheret perlawanan ke set penentuan gagal selepas tumpas 13-21.
Sebagai rekod, ini adalah kekalahan keempat berturut-turut Jun Hao ke atas Shi Feng yang kesemuanya menerusi keputusan straight-set.
Biarpun sekadar bergelar naib juara, ia adalah keputusan terbaik dicapai pemain kelahiran Kuala Lumpur itu musim ini apabila melangkah ke pentas final selain turut memperagakan aksi memukau dengan menumpaskan pemain ranking lebih tinggi daripadanya.
Terdahulu, Jun Hao berjaya menempah tiket ke pentas final Kumamoto Masters selepas bangkit menumbangkan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 10-21, 21-18, 22-20 dalam tempoh 77 minit.
Sebelum berdepan Jonatan, bekas juara remaja Asia itu turut mencipta kejutan menumbangkan pemain India, Lakshya Sen di pusingan pertama serta menyingkirkan pemain ranking ke-11 dunia dari Jepun, Hoki Watanabe di pusingan kedua dan menundukkan pemain No. 4 dunia, Kodai Naraoka di pentas suku akhir.
Selaku naib juara, Jun Hao berjaya membawa pulang wang kemenangan bernilai AS$15,960 (RM71,346). -KOSMO! ONLINE