KUALA LUMPUR – Jaguh skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mencipta sejarah tersendiri apabila menundukkan pilihan utama dari Mesir, Youssef Soliman untuk menjuarai Piala Skuasy ACE Malaysia 2024.
Dalam aksi final yang berlangsung di The Curve Damansara hari ini, Eain Yow yang merupakan pilihan kedua kejohanan, mempamerkan aksi dominan dengan kemenangan 11-7, 11-7, 11-7.
Selepas perlawanan, Eain Yow meluahkan kegembiraan dengan pencapaiannya dan menyatakan kesediaannya untuk menghadapi cabaran seterusnya pada Terbuka Singapura bermula 19 hingga 24 November ini.
“Ya, ia sangat luar biasa. Walaupun saya katakan semalam bahawa saya yakin dan percaya pada diri sendiri, saya sebenarnya tidak menjangka persembahan seperti ini.
“Saya rasa, secara peribadi, ini adalah salah satu persembahan terbaik saya, malah mungkin lebih baik daripada final Sukan Asia,” katanya selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu bukan sahaja menyaksikan Eain Yow membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$9,025 (RM42,300), tetapi juga menjadi gelaran PSA keduanya tahun ini selepas memenangi Terbuka Jerman pada April lalu. – KOSMO! ONLINE