SHAH ALAM – Suasana di Dataran Shah Alam di sini, kecoh apabila seorang lelaki dicederakan individu tidak dikenali yang menghalaunya dari kawasan itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tular itu daripada mangsa, Isnin lalu.
Menurut beliau, mangsa yang berada di dalam kereta bersendirian kemudiannya didatangi seorang lelaki yang menghalau keluar dari kawasan dataran tersebut.
“Kejadian itu menyebabkan berlalu pertengkaran mulut dan pergelutan di antara mereka. Suspek dikatakan terlebih dulu bertindak memukul dengan tangan sebelum mangsa membalasnya,” katanya malam ini.
Tambah Mohd. Iqbal, pergaduhan itu bagaimanapun dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi tersebut.
Ujarnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kesan calar di lengan tangan sebelah kanan. – KOSMO! ONLINE