fbpx

Tyson kekal bertahan biarpun tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYSON (kanan) terpaksa akur tewas kepada Paul menerusi kiraan mata, namun kekal bertahan sehingga tamat perlawanan lapan pusingan sebentar tadi. - AFP

PETINJU legenda, Mike Tyson membuktikan semangat juang tinggi apabila kekal bertahan sehingga pusingan kelapan biarpun tewas kepada petinju muda berusia 27 tahun, Jake Paul dengan kiraan mata dalam pertarungan epik di Stadium AT&T, Texas, Amerika Syarikat, sebentar tadi.

Walaupun usia membezakan mereka, pengalaman 20 tahun Tyson di gelanggang tinju berjaya memberikan cabaran sengit kepada Paul terutama menafikan hasrat untuk menumbangkannya lebih awal.

Tyson memulakan aksi dengan agresif pada pusingan awal, namun pergerakannya mula perlahan selepas memasuki pusingan keempat.

Paul yang terkenal dengan kekuatan tumbukannya beberapa kali melepaskan serangan padu ke arah kepala Tyson, tetapi kecekalan bekas juara dunia itu menafikan sebarang kekalahan awal. 

Berdasarkan kiraan mata, salah satu juri memberikan Paul mata 80-72, manakala dua lagi juri turut memihak kepada pempengaruh media sosial itu dengan kiraan 79-73.

Tyson yang kekal berdiri hingga tamat perlawanan menerima sorakan gemuruh daripada peminat sekali gus membuktikan bahawa umur hanyalah angka apabila terus memberikan saingan kepada lawannya yang jauh lebih muda.

Aksi tersebut adalah pertarungan pertama Tyson yang diiktiraf sebagai perlawanan profesional selepas mengumumkan persaraan biarpun kembali ke gelanggang pada 2020 ketika menentang Roy Jones Jr. di Staples Centre, Los Angeles pada aksi berstatus pertunjukkan yang berakhir dengan keputusan seri.

Paul pula yang mula menceburi sukan tinju sejak empat tahun lalu meraikan kemenangan tersebut dan berharap dapat kembali bersaing dengan petinju lebih hebat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI