fbpx

‘Tak adil’ – Shuib nak saman tukang fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bakal mengambil tindakan undang-undang, pelawak dan usahawan Shuib kesal dengan tindakan seorang pengguna media sosial berhubung kenyataan palsu melibatkan pemilikan syarikatnya, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee).

Shuib atau nama sebenarnya nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, menyifatkan tuduhan individu terbabit tidak berasas selain mampu mengakibatkan kerugian jutaan ringgit terhadap syarikatnya.

“Saya akan mengambil tindakan (saman) ke atas kenyataan terhadap seorang pengguna TikTok yang dirasakan melampaui batas. Sekiranya ingin bercakap soal pengasas sesebuah produk, kita kena fikir apakah kesan yang berlaku kepada individu itu dan jenama.

“Jika kesan tidak baik dan boleh mengakibatkan kerugian, perkara itu tidak adil untuk saya dan syarikat memandangkan tuduhan tersebut tidak berasas. Perniagaan saya ini melibatkan pelabur dan urusan perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.

“Jika kenyataan dia itu boleh menyebabkan kerugian berjuta kepada kita, saya ambil tindakan kerana bukan hendak memberi pengajaran kepada orang lain, tetapi kepada diri dia sendiri supaya jangan anggap kenyataan di media sosial itu sebagai main-main,” katanya yang ditemui dalam majlis sidang media Bocey Comeback Live In Singapore di sini semalam.

Shuib turut meminta khalayak tidak membuat sebarang spekulasi tentang jenama minuman tersebut hanya kerana pengarah bersama syarikat berkenaan berbangsa Cina.

“Saya sudah biasa melalui perkara sebegini di mahkamah dan selalunya mereka yang terlibat akan tertunduk malu dan bercakap dalam keadaaan terketar-ketar. Saya tidak mahu melakukan perkara sebegini, tetapi sekiranya saya tidak melakukan, mereka akan fikir mereka adalah golongan bijaksana dalam berkata-kata.

“Apabila ada individu yang mengeluarkan kenyataan ‘type-C’, pada saya itu tidak patut. Adakah individu itu cuba untuk menggunakan elemen perkauman di sini? Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.

“Apa yang ingin saya tegaskan ialah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar. Jadi, hati-hati apabila bercakap kerana apabila melibatkan syarikat, saya perlu mengambil tindakan,” katanya.

Kelmarin syarikat milik Shuib itu berdepan dengan 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Syarikat terbabit bersama dua pengarahnya diwakili Shuib dan Koh Choon Guan selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Terdahulu, Bubblebee, Shuib dan Koh didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI