fbpx

SFMM39: ‘Wujudkan kategori khas untuk lagu Gen Z, raikan mereka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EDRY mencadangkan agar diwujudkan kategori khas untuk lagu Gen Z memandangkan pendekatan muzik mereka lebih ringkas dan berbeza daripada genre yang sering dipertandingkan di AJL.

SHAH ALAM – Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 (SFMM39) melabuhkan tirai malam tadi dengan menyaksikan 10 lagu terbaik mara sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) namun banyak karya generasi muda khususnya Gen Z berputih mata.

Penjurian telus dan menyeluruh, ketua juri SFMM39, Edry Abdul Halim, 48, berkata, banyak lagu kelompok artis muda menghiburkan tetapi tidak mempunyai daya saing yang cukup kuat untuk bertarung di pentas akhir.

“Memilih hanya 10 daripada 30 lagu adalah tugas yang sangat mencabar. AJL bukan sekadar persembahan atau pameran, sebaliknya sebuah pertandingan.

“Kita mahu lagu yang benar-benar berdaya saing. Malangnya, banyak lagu daripada peserta Gen Z lebih santai dan tidak cukup kuat untuk ke akhir,” katanya ketika ditemui pada sidang media usai konsert hari kedua SFMM39, di sini, semalam.

Edry turut mencadangkan agar diwujudkan kategori khas untuk lagu-lagu Gen Z memandangkan pendekatan muzik mereka lebih ringkas dan berbeza daripada genre yang sering dipertandingkan di AJL.

“Lagu Gen Z memang ringkas dan sukar untuk dipertandingkan tetapi kalau ada kategori khas, karya mereka mungkin lebih dihargai.

“Audiens mereka ramai, jadi mungkin juga satu peluang untuk meraikan kreativiti generasi muda,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa cadangan itu hanya pandangan peribadi dan memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak penganjur.

Ditanya tentang pemilihan 10 lagu ke finale AJL kali ini, Edry berkata, semuanya dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap kategori muzik seperti balada, hiphop dan etnik kreatif ada wakil.

“Kami tidak mahu persembahan yang membosankan. Oleh itu, pemilihan berdasarkan kualiti lagu dan kepelbagaian genre sangat penting.

“Setiap markah sangat rapat, dengan perbezaan hanya dua hingga tiga peratus antara lagu yang layak dan tidak.

“Proses penjurian turut mengambil kira pra-penjurian 80 peratus berdasarkan melodi dan lirik, manakala baki 20 peratus dinilai berdasarkan persembahan pentas semasa SFMM39,” dedahnya.

Edry yang juga komposer turut menitipkan nasihat kepada peserta muda agar tidak berputus asa dan melihat penyertaan di peringkat separuh akhir sebagai pencapaian besar.

Keseluruhannya, dia memuji usaha dan keberanian peserta Gen Z yang berani mencuba nasib di pentas SFMM39.

“Kebanyakan mereka belum bersedia untuk pentas akhir tetapi jangan jadikan ini sebagai titik noktah.

“Jadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk perbaiki karya mereka pada masa hadapan,”

“10 lagu yang dipilih kali ini adalah yang terbaik dan paling layak untuk bersaing di pentas AJL ke-39,” tegasnya.

Selain Edry, kesemua 30 lagu yang bertanding di SFMM39 turut diadili barisan juri profesional iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap dan Ad Samad.

AJL39 dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan di Axiata Arena dengan tarikh rasmi akan diumumkan penganjur tidak lama lagi.

Senarai 10 Lagu Layak ke AJL39
1. Diam – Hael Husaini
2. Puas Sudah – Aina Abdul
3. Hening Rindu – Marsha Milan
4. Aura – Ernie Zakri
5. Terus Bersinar – Hafiz Suip
6. Pujaanku – Masdo dan Aisyah Aziz
7. Risiko – Benzooloo, Tuju & MK K-Clique
8. ⁠Sengaja – Amir Masdi
9. Saksama – ATM
10. Bukan Lagi Kita – Nadeera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI