PETALING JAYA – Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) minta jurulatih Liga Malaysia (Liga M) bersikap ‘anak jantan’ dan mengemukakan laporan rasmi sekiranya berdepan sebarang isu termasuk tunggakan gaji.
Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi dan jurulatih tidak perlu berasa takut disenarai hitam oleh kelab dan komuniti bola sepak tempatan.
“Saya rasa saya boleh faham mereka, kalau mereka agak takut atau tidak buat laporan oleh kerana mungkin akan ‘digam’ oleh pesatuan atau kelab. Pada saya semua itu kita tidak perlu fikirkan.
“Saya nasihatkan kepada mereka buat laporan, kita tidak akan hebahkan siapa yang buat laporan. Kalau tidak ada laporan kita tidak boleh bertindak,” katanya.
Sebelum ini, arena bola sepak negara sering dibayangi isu tunggakan gaji dan PJBM bersedia tampil untuk membantu jurulatih seperti yang dilakukan oleh Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) ketika membantu pemain.
Kim Swee juga menjelaskan pihaknya akan menggunakan pelbagai platform untuk memastikan kebajikan jurulatih terbela.
“Kita memang ada kekangan tetapi kita akan ikut saluran yang kita ada. Kami perlu cari solusi dimana bukan saja pihak persatuan, kemungkinan kita ingin (Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bantu bagaimana untuk kita nak pastikan benda ini tidak berlaku lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE